Keamanan negara tidak datang bergolek - Panglima Angkatan Tentera

30/08/2020 10:06 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KUALA LUMPUR, 30 Ogos  -- Keamanan negara tidak boleh dikecapi jika tiada yang berjuang memastikan keamanan pada zaman dahulu, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata ini kerana keamanan tidak datang bergolek dan ia memerlukan pengorbanan besar untuk mencapai kemerdekaan.

“ATM memberi sepenuh jiwa raga dan nyawa mereka untuk menentukan kedaulatan negara agar sentiasa dipertahankan.

“Kami, ATM, mempunyai semangat perjuangan tinggi ketika berhadapan dengan ancaman komunis yang mengganggu-gugat negara pada zaman dahulu,” katanya mengenang kembali perjuangan ATM kepada Bernama baru-baru ini di pejabatnya di Wisma Pertahanan, di sini.

Affendi berkata pasukan keselamatan bertungkus-lumus mempertahankan negara dan tidak pernah mempersoalkan pengorbanan yang mereka beri untuk mendapatkan kemerdekaan di negara ini.

Beliau berkata walaupun negara telah mencapai kemerdekaan namun ancaman pada dulu dan kini tidak lagi sama. 

“Kita melangkah ke era ancaman pengganas (pada masa kini) dan ia merupakan cabaran kepada ATM dalam mempertahankan sempadan daratan dan sempadan perairan negara.

“Sempadan daratan dan perairan amat luas sekali dan kita tidak boleh leka walaupun sekejap kerana ancaman luar ini (boleh berlaku) pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Affendi berkata pihaknya sentiasa memperketatkan kawalan di sempadan daratan dan perairan negara bagi memastikan tiada anasir luar menceroboh masuk ke negara ini.

“Merdeka ialah sesuatu makna yang amat mendalam dan keamanan negara ini kita tidak boleh ‘take for granted’ dan sentiasa perlu bersiap siaga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata pihak tertentu perlu memainkan peranan dalam mengkomersilkan kisah-kisah perjuangan serta pengalaman pahit getir veteran ATM semasa era peperangan suatu masa dahulu.

"Ia juga boleh dilakukan dengan cara menjadikan ia sebagai subjek teras dalam pendidikan di mana ianya dipercayai boleh menyemai semangat kecintaan kepada negara.

"Jika dilihat veteran ATM sendiri mereka sentiasa bersiap sedia mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada segala bentuk ancaman jika diperlukan pihak kerajaan," katanya.

Dzulkarnain berkata golongan veteran ATM ini mempunyai semangat serta nilai patriotisme yang tinggi biarpun rata-ratanya sudah “menggantung” seragam atau senjata.

Beliau berkata tidak timbul isu nilai patriotisme dalam kalangan veteran sama ada menurun ataupun hilang ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan