Dataran Merdeka himpun kenangan sambutan Hari Kebangsaan

31/08/2020 03:31 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Dataran Merdeka, pada suatu ketika dikenali Padang Kelab Selangor, menyaksikan pelbagai sejarah dan tidak pernah sepi daripada aktiviti setiap kali menjelang sambutan-sambutan utama termasuk ambang tahun baharu dan Hari Kebangsaan.

Namun, pandemik COVID-19 yang masih mengancam negara menyebabkan lokasi yang merupakan antara venue utama sambutan Hari Kebangsaan itu sepi daripada sebarang acara tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bercakap kepada Bernama di sini, Venaigam Packirisamy, 45, mengakui Dataran Merdeka mempunyai tempat tersendiri dalam hidupnya selepas beliau terlibat secara langsung dalam perbarisan Hari Kemerdekaan.

"Masih ingat lagi, pada 1991, saya berumur 17 tahun dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar. Tidak sangka sekolah dan saya sendiri terpilih untuk menyertai pasukan formasi ketika itu.

"Ketika itu, sekolah saya memakai baju berwarna putih. Kami berdiri bersama-sama pelajar sekolah lain bagi membentuk formasi bendera Malaysia dan juga membina bentuk-bentuk lain dengan konsep warna biru, kuning, merah dan putih," katanya yang kembali semula ke lokasi itu semasa sambutan Hari Kebangsaan 2012.

Turut berkongsi memorinya berkaitan Dataran Merdeka ialah  Wan Nor Azira Mazlan, 37, yang terlibat menguruskan pasukan kawad syarikatnya pada sambutan Hari Kebangsaan 2010.

“ … perasaan itu lebih istimewa kerana secara langsung terlibat dalam menjayakan acara Hari Kebangsaan yang menjadi perhatian masyarakat seluruh negara,” katanya. 

Adilah Azri, 28, pula berkata beliau bertanggungjawab menguruskan logistik untuk pasukan yang terlibat dalam  perbarisan serta media yang membuat liputan pada sambutan Hari Kemerdekaan 2015.

“Saya dan pasukan berada di situ seawal 4.30 pagi atau 5 pagi untuk memastikan semua dalam keadaan baik dan bersedia pada hari tersebut (Hari Kebangsaan). Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

“Saya juga mempunyai kenangan menonton perlawanan Piala Dunia 2014 di situ,” katanya.  

Mengimbau sejarah, Dataran Merdeka ketika dikenali Padang Kelab Selangor, menyaksikan penurunan bendera Union Jack pada tengah malam 30 Ogos 1957 sebelum disusuli acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu, menandakan berakhirnya pemerintahan British di negara ini. 

Padang Kelab Selangor dinamakan Dataran Merdeka pada Oktober 1989 bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 1990.

-- BERNAMA

 

Keywords :

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan